Ada orang mengatakan kehidupan umpama putaran roda, gembira dan duka silih berganti sehingga dua situasi itu dilihat seperti pasangan kembar. Walhal, hakikatnya kita lebih banyak bergembira.
Mungkin kerana terlalu banyak gembira dan ketawa, sesetengah orang mudah putus asa dan kecewa tatkala dilanda musibah. Kesusahan tidaklah seberapa, tetapi sentiasa diungkit-ungkit dengan pelbagai andaian.
Justeru saat mendapat kesenangan perlu dihadapi dengan waspada. Janganlah kesenangan membuatkan diri berasa cepat selesa dan alpa kerana kelak dikhuatiri membawa bencana.
Firman-Nya dalam surah al-A’raf, ayat 205 bermaksud: “Dan janganlah engkau menjadi daripada orang yang lalai.”
Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila kamu melihat seseorang dikurniakan kelebihan dengan harta melimpah-limpah dan dengan kecantikan, maka lihatlah pula kepada orang yang serba kekurangan.” (Riwayat Bukhari)
KESENANGAN MENJADI BENCANA
Kita perhatikan bukan sedikit mereka yang terkena ‘bisa’ kesenangan.
Harta dan kemewahan dibangga-banggakan, lupa diri dan Pencipta yang memberikan rezeki dan segala-galanya.
Apabila begitu, mereka dengan sombongnya mendabik dada yang harta diperoleh adalah atas kepandaian diri semata-mata.
Orang yang dikuasai sifat ini sebenarnya dalam bahaya kerana ia adalah sifat Iblis yang dilaknat.
Firman-Nya dalam surah al-Baqarah, ayat 34 bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis, ia enggan dan takbur dan menjadilah ia daripada golongan yang kafir.”
Wang yang banyak, bonus besar atau untung berganda-ganda misalnya adalah rezeki daripada-Nya. Namun, apabila beranggapan ia daripada usaha dan kerja kuat diri sendiri saja menjadikan seseorang itu kikir dan boros.
Kedua-duanya dicela. Firman-Nya dalam surah al-Isra, ayat 27 bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”
Dalam surah at-Taghaabun, ayat 16 antara lain dijelaskan: “Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.”
MUSIBAH MEMBAWA BAHAGIA
Allah sangat menyayangi hamba-Nya. Belas kasihan dan kerahmatannya mencurah-curah dengan tiada bandingan.
Firman-Nya dalam surah al-Ahzab, ayat 43 bermaksud: “…dan adalah Dia sentiasa melimpah-limpah rahmat-Nya kepada orang-orang yang beriman (di dunia dan di akhirat).”
Tiada orang mahu ditimpa musibah sama ada dalam bentuk kesusahan, kesakitan, rasa hiba ataupun sunyi atas kehilangan. Namun, apabila ditakdirkan, seseorang itu perlulah ikhlas dan reda menghadapinya.
Sayidina Ali pernah berkata: “Jika kamu bersabar, maka takdir akan berjalan atasmu dengan mendapat pahala. Tetapi jika tidak bersabar, takdir tetap akan berjalan atasmu dan kamu berdosa.”
Ahli sufi, Jalaluddin ar-Rumi berkata: “Jangan bersedih hati. Apa-apa saja anda kehilangan, ia akan datang dalam bentuk yang lain.”
Imam al-Ghazali berkata: “Musibah tidak akan lama. Ia umpama awan yang berarak di langit. Sedikit demi sedikit akan hilang. Bersabarlah seketika, kelak kebahagiaan yang lebih lama akan kita temui dan pahala yang melimpah akan kita peroleh.
“Tambahan pula, jika kita hadapi musibah itu dengan lapang dada, ikhlas dan tenang, seolah-olah tiada sebarang musibah pun. Ini adalah yang terbaik kerana pada lahirnya saja dirasakan seperti musibah, namun pada hakikatnya ia adalah nikmat.
“Maka ucapkanlah ‘kita kepunyaan Allah dan kepada-Nyalah kita akan kembali’. Allah menjanjikan pahala dan balasan baik bagi orang yang berkeyakinan demikian. Sesungguhnya kesengsaraan bagi orang Mukmin akan mendatangkan kebahagiaan pada kemudian hari.”