Kisah Ahmad Arqam al-Balkhi: Keliru nafsu dorong ke medan jihad

Al-Quran antara lain menyatakan ganjaran besar kepada mereka yang berjihad pada jalan Allah, sebagaimana firman-Nya dalam surah an-Nisa, ayat 74 bermaksud:

“Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah, lalu dia mati (gugur syahid) atau beroleh kemenangan, maka Kami akan memberi kepadanya pahala yang besar.”

Namun prinsip jihad dimaksudkan itu bukan sengaja mencari musuh, tidak menzalimi dan tidak membunuh jiwa tidak berdosa. Dari sudut dalaman diri pula, ia mesti dengan niat suci kerana Allah, bukan kerana dengan keangkuhan, mahu tunjuk hebat semata-mata atau kepentingan lain.

Satu kisah diceritakan dalam Minhajul Abidin (sebuah buku), mengenai seorang soleh, Ahmad bin Arqam al-Balkhi rahimahullah. Dia keliru apabila nafsu mendorongnya ke medan perang fi sabilillah (dalam pengertian di sini, jihad pada jalan Allah). Bahkan, boleh dikatakan dia bingung memikirkan nafsu boleh terdorong kepada kebaikan.

Lalu dia berdoa dan terbukalah hijab (tabir), seolah-olah dia melihat nafsunya berkata: “Wahai Ahmad, setiap hari engkau membunuhku dengan menghalang segala keinginanku. Setiap saat engkau menentangku dan membuatkan aku dalam sengsara.”

Kata nafsu seterusnya: “Tiada orang yang tahu jika aku turut berperang fi sabilillah, aku hanya mati sekali, tetapi kini setiap hari aku mati dan aku akan lepas daripada kekanganmu.

“Aku juga akan menjadi masyhur kerana kelak orang akan mengatakan bahawa aku mati syahid. Aku akan menjadi terkenal dan dimuliakan, malah jasadku akan dikuburkan di taman makam pahlawan.”

Akhirnya dia diam terduduk dan tidak jadi pergi berperang kerana niatnya belum lurus (ikhlas semata-mata kerana Allah).

error: Content is protected !!