Dua hal yang pasti bagi setiap manusia

Daripada Jabir RA berkata: Seorang Arab pedalaman datang kepada Nabi SAW, lalu berkata: Wahai Rasulullah, apakah dua hal yang pasti itu?

Baginda bersabda (mafhumnya): Sesiapa mati tidak menyekutukan Allah, dengan sesuatu pun, maka dia masuk syurga. Dan sesiapa mati, sedang dia menyekutukan Allah dengan sesuatu, dia masuk neraka. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

HURAIAN

Hadis ini kelihatan ringkas, namun sangat bermakna. Ia ada dinyatakan dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, pada halaman 316. Perkataan mafhum pada kurungan itu ertinya ‘yang difahami’ atau ‘yang dapat difahami’.

Dua hal yang dinyatakan dalam hadis itu sangat jelas kepada kita: Yang pertama iaitu tidak menyekutukan Allah, maka masuk ke syurga dan yang kedua, menyekutukan Allah, maka masuk neraka.

Ini adalah suatu peringatan penting kepada kita dan harus dijadikan sebagai garis panduan ataupun prinsip asas dalam kehidupan di dunia ini, dari usia kanak-kanak, remaja, belia dan dewasa ataupun tua bangka, supaya kehidupan abadi kita kelak di syurga, bukan di neraka.

error: Content is protected !!