Kita & Hadis

  • Keutamaan bersabar apabila ditimpa musibah

    Daripada Abu Umamah, daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Allah Subhanahu wa Taala berfirman, wahai anak Adam, sekiranya kamu bersabar dan ikhlas ketika ditimpa musibah, maka Aku tidak meredai bagimu pahala melainkan syurga. (Hadis diriwayatkan oleh Ibn Majah)

    HURAIAN

    Hadis ini dinyatakan dalam Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, halaman 293.

    Hadis ini memberikan motivasi kepada kita agar bersabar, menguatkan diri dan daya tahan dalam menghadapi musibah yang menimpa.

    Musibah boleh datang dalam pelbagai rupa dan biasanya membabitkan kesukaran atau kesusahan, kebakaran, banjir dan sebagainya. Buah kepada kesabaran kelak ialah syurga seperti dinyatakan dalam hadis itu.

  • Apa harus dilakukan jika terlupa solat

    Daripada Anas bin Malik berkata, Nabi SAW ditanya mengenai seorang lelaki yang lalai (terlupa) atau ketiduran daripada mengerjakan solat, maka baginda berkata, dia hendaklah mengerjakannya (solat) apabia mengingatinya. (Diriwayatkan oleh Ibn Majah)

    HURAIAN

    Hadis ini ada dinyatakan dalam Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, halaman 115.

    Hadis ini sebagai tunjuk ajar kepada kita iaitu apabila terlupa daripada mengerjakan solat, maka hendaklah melakukannya apabila mengingatinya. Jangan pula apabila sudah mengingatinya, maka dilengahkan atau ditangguhkan sehingga terlupa lagi, lalai lagi. Jika suka bertangguh, sampai bila-bila pun asyik lupa.

    Kita seharusnya menjaga solat, memelihara solat harian dengan sebaik-baiknya, kerana itulah boleh menjadi bekalan kita ke alam akhirat. Ibadat lain misalnya bersedekah, kita tidak langsung sebab beralasan tiada wang, mengucapkan zikir pun tidak, sebab mulut asyik terasa berat. Sekiranya solat yang harian dan yang begitu ringkas pun kita sengaja tinggalkan juga, maka yang mana ibadat kita, mana aset akhirat kita, apa yang kita mahu bawa kelak?

  • Allah reda orang memuji-Nya apabila makan dan minum

    Daripada Anas RA berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya Allah pasti meredai seorang hamba yang makan makanan, maka dia memuji-Nya atas makanan itu ataupun dia minum minuman, maka dia memuji-Nya atas minuman itu. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    HURAIAN

    Hadis ini ada dinyatakan dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 331.

    Ia menjelaskan sikap mulia atau terpuji yang selayaknya ada pada manusia sebagai hamba kepada penciptanya yakni Allah, yang Dialah jua memberikan rezeki kepada hamba-Nya.

    Makan dan minum adalah perkara asas dan rutin harian dalam kehidupan. Setiap kali makan dan minum atau sebanyak mana orang itu makan dan minum yakni dalam maksud kekerapan makan dan minum, maka sebanyak itu juga dia memuji-Nya, maka sungguh terpuji sikapnya itu.

    Justeru Allah meredai hamba-Nya yang memuji-Nya, yakni suka, tiada marah kepada manusia itu. Keredaan Allah amat penting dalam menjalani kehidupan sehari-hari. Apabila Allah reda, maka berbahagia manusia itu. Justeru, pujilah Dia, sebutlah pujian kepada-Nya, sama ada pada bibir mahupun dari dalam hati seperti ‘alhamdulillah’.

  • Dua hal yang pasti bagi setiap manusia

    Daripada Jabir RA berkata: Seorang Arab pedalaman datang kepada Nabi SAW, lalu berkata: Wahai Rasulullah, apakah dua hal yang pasti itu?

    Baginda bersabda (mafhumnya): Sesiapa mati tidak menyekutukan Allah, dengan sesuatu pun, maka dia masuk syurga. Dan sesiapa mati, sedang dia menyekutukan Allah dengan sesuatu, dia masuk neraka. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    HURAIAN

    Hadis ini kelihatan ringkas, namun sangat bermakna. Ia ada dinyatakan dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, pada halaman 316. Perkataan mafhum pada kurungan itu ertinya ‘yang difahami’ atau ‘yang dapat difahami’.

    Dua hal yang dinyatakan dalam hadis itu sangat jelas kepada kita: Yang pertama iaitu tidak menyekutukan Allah, maka masuk ke syurga dan yang kedua, menyekutukan Allah, maka masuk neraka.

    Ini adalah suatu peringatan penting kepada kita dan harus dijadikan sebagai garis panduan ataupun prinsip asas dalam kehidupan di dunia ini, dari usia kanak-kanak, remaja, belia dan dewasa ataupun tua bangka, supaya kehidupan abadi kita kelak di syurga, bukan di neraka.

error: Content is protected !!